KEBERKESANAN REKA BENTUK PENGAJARAN BERSISTEM DI KALANGAN PELAJAR-PELAJAR SEEKOLAH MENENGAH

oleh

Dr. Ismail Zain

(Asbtrak tesis Doktor Falsafah, USM, 1994)

 

Penyelidikan ini bertujuan untuk membina dan menilai keberkesanan Reka Bentuk Pengajaran Bersistem (RPB) berbanding dengan Pengajaran Amalan Guru (PAG) di kalangan pelajar-pelajar sekolah menengah.  RBP ialah suatu pendekatan yang diubahsuai daripada Model Dick & Reiser (1989) yang berasaskan teori kognitif dan teori pemprosesan maklumat.  Penyelidik telah memilih 4 topik dalam mata pelajaran geografi tingkatan 1 untuk direkabentuk pengajaran.  RPB dan PAG diuji dengan menggunakan 320 sampel pelajar-pelajar yang dipilih secara rawak dari 4 buah sekolah di Daerah Kinta, Perak Darul Ridzuan. 

Kaedah penyelidikan yang digunakan ialah kaedah eksperimen iaitu "Reka Bentuk Dengan Pindah Silang Di Antara Dua Kumpulan, Reka Bentuk Ujian Pra dan Pos Kumpulan Kawalan".  Ujian-ujian dimensi psikologi (kebimbangan, lokus kawalan, gaya kognitif) dijalankan bertujuan untuk mengkaji kesan-kesan reka bentuk pengajaran ke atas pelajar-pelajar yang mempunyai aras-aras dimensi psikologi yang berbeza.   Pembolehubah bebas yang digunakan dalam penyelidikan ini ialah Jenis Pengajaran (PAG, RPB), dimensi Psikologi (kebimbangan, lokus kawalan, gaya kognitif) dan Jenis Sekolah (bandar, luar bandar), manakala pembolehubah bersandar pula ialah pencapaian akademik pelajar-pelajar.

Hipotesis-hipotesis telah dibentuk dengan menyatakan bahawa terdapat perbezaan-perbezaan yang signifikan terhadap aras-aras pencapaian di kalangan pelajar-pelajar dalam mempelajari pelajaran geografi melalui RPB berbanding dengan PAG; dengan aras-aras Dimensi Psikologi yang berbeza; dan terdapat interaksi-interaksi antara Jenis Pengajaran dengan Dimensi Psikologi.

Langkah-langkah ANOVA dijalankan untuk melihat Kesan Punca-Punca Utama serta interaksi-interaksi antara pembolehubah-pembolehubah bebas.  Signifikan bagi setiap pembolehubah bebas ditentukan dengan menggunakan ujian-t dan analisis regrasi dijalankan untuk mengetahui sumbangan-sumbangan setiap pembolehubah bebas ke arah pencapaian.

Hasil kajian ini didapati bahawa semua hipotesis-hepotesis di atas diterima.  Dari analisis regrasi didapati Jenis Pengajaran memberi sumbangan yang signifikan dalam penentuan ke arah pencapaian.  Kajian ini juga mendapati bahawa Dimensi Psikologi dan Jenis Sekolah walaupun memberi sumbangan yang kecil sahaja terhadap pencapaian pelajar-pelajar, tetapi ianya adalah signifikan. 

 

 

Balik semula ke senarai artikel