KECEMERLANGAN:

TIDAK PERNAH BERAKHIR!

 oleh

Dr. Ismail Zain

 Apa itu Kecemerlangan?

 Perkataan “Cemerlang” atau “berjaya” adalah merupakan perkataan yang sering berada dibibir kita apabila kita hendak melakukan sesuatu tugasan.  Ianya juga adalah merupakan satu harapan, keinginan, impian atau satu hala tuju yang akhir bagi diri kita.  Tetapi ianya tidak pernah berakhir!.

 

Kecemerlangan ialah kebolehan dan kemampuan diri menggabung dan menggunakan keseluruhan potensi yang dianugerahkan Allah kepada setiap individu secara menyeluruh dan bersepadu ke jalan yang diredhoi Allah. Ianya meliputi memperseimbang dan mempergiatkan pelbagai kecerdasan yang ada pada diri individu ke arah penjanaan minda yang kritis dan kreatif.  Ianya adalah untuk kesejahteraan dan keharmonian kehidupan individu dan masyarakat umum sepanjang hayat.

 

 

 

 

 

Apa itu kecemerlangan?.  Bagi seorang pelajar anda mungkin menjawab bahawa kecemerlangan adalah memperolehi keputusan yang baik di dalam peperiksaan.  Apakah dengan keputusan itu sudah cukup untuk diri anda digelar cemerlang serta dapat menentukan masa depan anda?  Jawapan yang anda berikan itu adalah hanya sebahagian kecil sahaja di antara ciri-ciri yang ada pada kecemerlangan.

Kalau dilihat pada definisi di atas maka sudah tentulah kecemerlangan dalam erti kata yang sepenuhnya adalah lebih luas.  Ianya adalah melibatkan satu bentuk proses yang berterusan dan ini bermakna kecemerlangan itu adalah sesuatu yang berterusan dan tidak pernah berakhir.

Saya akan huraikan beberapa istilah dan rangkai kata yang penting yang terkandung di dalam definisi kecemerlangan, agar pelajar-pelajar dapat menghayati erti kecemerlangan itu dengan lebih mendalam serta penuh bermakna.

 

·        Mengguna dan menggabung potensi:  Potensi ialah merupakan “fitrah” iaitu bakat dan kebolehan yang dianugerahkan oleh Allah kepada setiap insan.  Setiap insan yang dilahirkan dengan sempurna sudah terdapat potensi yang ada pada dirinya.  Terdapat  ribuan potensi yang ada pada diri manusia yang di antaranya seperti berfikir, menulis, membaca, serta menggunakan pelbagai kemahiran dalam sesuatu bidang,.  Potensi anda tidak akan terserlah dan anda tidak ketahui jika anda tidak mencuba, mengguna dan menggabungkannya.  Jika tidak dipecahkan ruyung manakan dapat sagunya!.  Oleh itu kecemerlangan bermakna berusaha bersungguh-sungguh mencuba, mengguna dan menggabungkan pelbagai potensi yang ada pada diri anda dalam melaksanakan sesuatu tugasan.  Tidak mahu menggunakan potensi yang ada bermakna ianya adalah merupakan satu kerugian buat diri anda!

·        Kecerdasan pelbagai:  Mengikut kajian pakar psikologi manusia ini mempunyai pelbagai kecerdasan yang harus dipergiatkan.  Setakat ini kecerdasan manusia dibahagikan kepada sembilan komponen:

 

 

  • Kecerdasan linguistik,
  • Kecerdasan ruang imaginasi,
  • Kecerdasan logistik-matematik,
  • Kecerdasan muzik
  • Kecerdasan kinestatik
 
  • Kecerdasan intrapersonal,
  • Kecerdasan interpersonal,
  • Kecerdasan naturalistik,
  • Kecerdasan emosi,
 
 

 

 

 

 

 

Secara ringkas marilah kita lihat apakah yang dimaksudkan dengan pelbagai kecerdasan yang disebut di atas yang terkandung di dalam potensi diri kita.

·        Kecerdasan linguistik: Komponen ini membolehkan seseorang individu itu menguasai pertuturan. Ianya melibatkan kelancaran dan sebutan sesuatu istilah, kosa kata dan seterusnya ayat.  Ini bermakna setiap individu mampu menguasai pertuturan dan bahasa sekiranya ia sentiasa berlatih mempergiatkan kecerdasan linguistik yang ada pada dirinya.

·        Kecerdasan ruang imaginasi: Ianya dirujukkan kepada kemampuan individu menggunakan daya imaginasinya ke arah melahirkan satu gambaran yang diperlukan.

·        Kecerdasan logistik-matematik: Ianya melibatkan pengiraan serta pemikiran yang berasaskan rasionaliti.

·         Kecerdasan muzik: Ianya melibatkan kepekaan terhadap bunyi serta kaitannya dengan emosi.

·        Kecerdasan kinestatik: Ianya melibatkan pergerakan otot-otot dan anggota badan keseluruhan.

·        Kecerdasan intrapersonal: Ianya melibatkan kemahiran menguasai dan mengawal keadaan dalaman pada diri sendiri.

·        Kecerdasan interpersonal: Ianya melibatkan kemahiran dan kemampuan seseorang individu menyesuaikan dengan individu yang lain.

·        Kecerdasan naturalistic: Ianya melibatkan kemahiran dan kemampuan seseorang individu menghayati dengan keadaan alam sekitar.

·        Kecerdasan emosi:  ianya berkaitan rapat dengan kecerdasan intrapersonal tetapi ianya lebih ditekankan kepada perkembangan seseorang individu.

  Demikianlah secara ringkas sembilan kecerdasan yang ada pada diri kita.  Anda mempunyai kesemua kecerdasan yang disebut tadi.  Cuma arasnya sahaja yang berbeza-beza, ada yang lebih tinggi aras kecerdasan ruang imaginasinya tetapi rendah dari segi aras logikal- matematikalnya.

  Oleh itu adalah wajar anda mengimbangi kesemua kecerdasan ini agar anda dapat meneroka keseluruhan potensi diri anda dan seterusnya dapat menikmati erti kecemerlangn itu sepenuhnya.