BAGAIMANA HENDAK JADI "SMART"?

oleh

DR. ISMAIL ZAIN

(Disiarkan dalam ruangan "Selamat Pagi Cikgu" akhbar Utusan Malaysia)

 

 

Kita sering kali mendengar istilah "SMART" yang digunakan dalam melaksanakan pelbagai urusan.

Pada umumnya sekiranya istilah tersebut ditujukan kepada manusia maka ianya membawa pengertian bahawa seseorang individu itu perlu menggunakan daya intelektualnya serta digabung dan diimbangkan dengan aspek fizikal dan spiritual supaya segala pilihan dan tugasan yang dibuat dapat menghasilkan sesuatu yang terbaik serta memberi faedah tanpa sebarang pembaziran.

Pada penulisan saya kali ini saya cuba menjadikan perkataan "’SMART" sebagai satu perkataan akronim serta membuat huraian bagaimana perkataan tersebut dapat menjadikan satu refleksi dalam urusan kehidupan harian kita.

Pada saya "SMART" membawa pengertian Sentiasa Mahu Ambil Risiko dan Tanggungjawab. Huraiannya adalah seperti berikut:-

Usaha secara berterusan setiap hari dapat mengurangkan tekanan. Tekanan akan terasa sekiranya sesuatu tugasan itu dibuat hasil daripada tangguhan kerja dari masa yang lalu.

Dari huraian yang ringkas tadi kita dapati seseorang yang "SMART" adalah mereka yang sentiasa mahu ambil risiko dan tanggungjawab.

Sebagai seorang pelajar, anda perlulah sentiasa mempunyai keinginan untuk menimba ilmu pengetahuan tanpa rasa jemu. Dalam proses menimba ilmu pengetahuan sudah tentulah anda akan menempuh pelbagai cabaran.

Sebagai seorang insan anda harus cekal menghadapi cabaran. Cabaran adalah merupakan mainan dan asam garam dalam kehidupan. Kesabaran adalah ubat yang paling utama dalam menghadapi cabaran dan kesabaran itu juga adalah separuh daripada iman.

Sebagai seorang pelajar anda juga perlulah bertanggungjawab di atas segala tindakan. Anda perlulah percaya serta yakin terhadap kebolehan diri sendiri. Sekiranya anda yakin dan bertanggungjawab di atas segala tindakan yang anda lakukan, maka insyaAllah tindakan yang akan anda ambil itu adalah sesuatu yang diredhai Allah.

Oleh itu lakukan sesuatu tindakan itu dengan hati yang jujur dan ikhlas, tanpa dipaksa dan dengan penuh rasa tanggungjawab.

Sebagai seorang guru pula sifat berani mengambil risiko dan tanggungjawab adalah merupakan sifat yang paling mulia. Sesungguhnya golongan guru sentiasa menanggung risiko dan tanggungjawab di dalam melaksanakan tugas mereka.

Risiko dan tanggungjawab ini dapat dilihat melalui pelbagai perancangan dan aktiviti yang dijalankan di sekolah-sekolah ke arah mewujudkan pelajar-pelajar yang cemerlang. Mereka lakukan ini tanpa mengira masa, wang ringgit dan tenaga.

Sesungguhnya seseorang yang takut pada risiko bukan sahaja membantutkan segala kreativiti yang ada pada diri mereka malah ianya merupakan penghalang ke arah proses anjakan paradigma.

Berdasarkan huraian di atas adakah anda seorang yang "SMART"? Buatlah satu refleksi diri sendiri berdasarkan ciri-ciri yang dihuraikan di atas.

 

Balik semula ke senarai artikel